Tuesday, December 6, 2011

E-Dagang

Perdagangan Elektronik, juga dipanggil E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce (EC) adalah sebuah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutama telekomunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya iaiitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi.  Kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya Web untuk  mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai.


Dengan E-dagang sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Pra syarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi E-Dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan anda mengkases Internet.  Ini sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon. Penggunaan E-dagang dijangka akan melonjak naik dari setahun demi setahun sesuai dengan meningkatan penerimaan IT di kalangan masyarakat, walau bagaimanapun di antara yang membelenggu penerimaan e-dagang secara lebih meluas di kalangan khalayak ramai ialah persepsi bahawa e-dagang masih tidak boleh dipercayai dari segi keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional perdagangan.

Jenis-jenis E-dagang 


E-dagang dapat dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu di antara perniagaan  dan perniagaan dan yang keduanya di antara perniagaan dan pengguna. Jenis e-dagang yang pertama iaitu di antara perniagaan dan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih perniagaan atau syarikat di mana seringkali satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain.  Sebagai contohnya pengeluar kicap akan berinteraksi dengan sebuah pasaraya dalam proses memesan, menghantar dan membayar pesanan botol-botol kicap.



Jenis e-dagang yang kedua pula iaitu di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual akhir sesuatu produk itu misalnya sebuah pasaraya yang menjual produk-produk kepada pengguna terakhir ialah orang ramai yang memesan satu atau dua botol kicap melalui e-dagang.



Dari segi jumlah transaksi yang dilakukan melalui e-dagang, jenis pertama iaitu transaksi di antara perniagaan dengan perniagaan sebenarnya paling banyak memberi kemanfaatan kepada sesebuah syarikat itu kerana jumlah pesanan di antara perniagaan seringkali besar dan kerap berbanding dengan di antara perniagaan dengan pengguna akhir.  Walau bagaimanapun perkara ini mungkin berubah apabila lebih ramai pengguna akhir menggunakan e-dagang untuk membeli barangan seharian seperti kicap, bunga, beras, baju, kereta dan lain-lain keperluan konsumer sesebuah mesyarakat itu.


Saiz E-dagang 

Menurut sebuah kajian oleh sebuah syarikat penyelidikan IntelliQuest's Worldwide Internet/Online Tracking Service hanya 12 peratus pengguna Internet menggunakan E-dagang. Ini merupakan satu peratusan yang akan mengecewakan dan merupakan satu potensi yang besar untuk diperkembangkan lagi pada masa depan.  Malah menurut sebuah lagi kajian oleh Computer Intelligence hanya dua peratus daripada 4.8 juta perniagaan yang berkomputer seluruh dunia menggunakan E-dagang untuk menjalankan kesemua atau sebahagian daripada transaksi perniagaannya.



Menurut perangkaan terkini saiz pengguna Internet akan meningkat kepada lebih 200 juta pengguna untuk akses melalui sambungan dail terus dan seramai 17.5 juta lagi yang menggunakan sambungan tetap seperti talian suwa (leased line) dan daripada itu dianggarkan seramai 35 juta pengguna akan membuat pembelian melalui Internet.



Dua syarikat penyelidik iaitu Forrester Research dan Cowles/Simba pula telah melakukan penyelidikan mengenai profil pengguna yang melakukan e-dagang  menerusi Internet. Kajian ini mendapati bahawa pembeli kebanyakannya terdiri daripada kaum lelaki yang mempunyai jumlah pendapatan setahun sebanyak RM50,000 dan berusia lebih daripada 30 tahun.  Hasil kajian yang sama juga menjangka bahawa urusniaga pembelian menerusi e-dagang akan meningkat lebih kurang 10 peratus setiap tahun bermula daripada nilai AS$800 juta pada tahun 1997 kepada AS$8 bilion menjelang tahun 1999.



Dengan kesedaran yang semakin meninggi tentang E-dagang maka dijangkakan pada tahun 2001 jumlah ini akan melonjak kepada lebih AS$546 bilion yang akan diurusniagakan dalam talian dan jumlah ini dijangkakan akan terus meningkat. Media yang akan mempopularkan E-dagang adalah seperti menerusi Internet dan juga menerusi kaedah elektronik yang lain seperti TV interaktif dan telefon berskrin.



Pada tahun 1998, jualan produk komputer merupakan produk yang paling laris dijual dengan menggunakan e-dagang sehingga mencecah AS$196.2 juta, ini diikuti oleh produk pengguna (AS$186 juta), majalah dan buku (AS$38.3 juta) dan produk hiburan dan muzik (AS$ 35 juta).



Skop E-dagang 

Secara amnya pasaran E-dagang meliputi enam bidang iaitu pengiklanan, pendidikan, kewangan, bidang professional, peruncitan dan pelancongan. Keenam-enam bidang ini telah menyumbang kepada pertumbuhan E-dagang yang memberangsangkan. Dalam tahun 1998 sahaja jumlah pendapatan pengiklanan menerusi Internet telah mencecah sehingga AS$1.3 bilion dan jumlah aset yang berjaya diurusniagakan oleh broker dalam talian adalah AS$420 bilion. Dalam bidang pendidikan pula jumlah penuntut jarak jauh telah meningkat daripada 120 ribu pelajar pada tahun 1997 kepada 710 ribu pada tahun 1998 dan jumlah ini dijangkakan meningkat kepada 2.2 juta penuntut menjelang tahun.



Dalam bidang professional pula seperti bidang perubatan, penggunaan teleperubatan telah meningkat sejumlah 300 peratus di seluruh dunia dan lebih 3 juta orang telah menerima manfaat daripada teleperubatan pada tahun 1998. Bidang kewangan pula telah menyaksikan peningkatan dalam pembelian aplikasi perbankan Internet kepada AS$93 juta pada tahun 1998 dan jumlah ini dijangkakan meningkat kepada AS$326 juta pada tahun 1999. Pada tahun 1997 hanya AS$100 juta diperolehi daripada penempahan tiket melalui Internet tetapi angka ini dijangka akan  meningkat kepada AS$3.1 bilion pada tahun 2002. Dalam masa yang sama pengguna yang menggunakan Internet untuk merancang perjalanan mereka akan meningkat daripada 3.1 juta kepada 11.7 juta pengguna.


Sumber Maklumat: http://jalalmpc.tripod.com/ecomm1.html

No comments:

Post a Comment